Saturday 26 November 2011

:: aku penDoSa ::


Sedarlah..
Islam ini sesuatu yang perlu dirasai dan dihayati,
sama-samalah kita bertanya diri.
Adakah jiwa kita ini,
berasa nikmat dengan Islam ?

Dorongan di sekitar terlalu mendesak
untuk jauh daripada Allah swt.
Akibatnya, jiwa menjadi gersang,
fikiran menjadi celaru,
fizikal menjadi lemah beramal.
Hidup ini terasa kosong,
apabila kita semakin jauh dari-Nya.
Kerana banyak melakukan maksiat dan dosa.

Dosa oh dosa.
Mengapa dosa sering menghimpit kita ?
Mengapa kita selalu lalai dan leka ?
Sungguh licik syaitan itu.
Fitrah insani.
Tiada siapa yang berjaya lari dari dosa.

Kita sering meletakkan diri kita di zon selesa,
sampaikan kita lupa tujuan hidup kita yang sebenar.

Setiap insan tidak terlepas daripada dosa.
Namun, orang  beriman yang berdosa  melihat
dosa itu seperti gunung yang menghempap.
Berbeza dengan orang yang tidak beriman,
tidak kemas keimanannya, apabila berdosa,
dia fikir dosa itu hanya ibarat lalat yang hinggap
di hidung dan boleh dikuis pergi dengan mudah.

Dosa itu sesuatu yang meresahkan.
Tidak ada ketenangan dan kebahagiaan dalam melakukan dosa.
Jika adapun hanya sementara, kemudian rasa gelisah itu
akan datang lagi dengan lebih menggigit.
Rasa bersalah itu sangat menyeksa selagi tidak ditebus dengan maaf dan taubat.
Bersalah  dengan manusia pun sudah cukup meresahkan,
apatah lagi berdosa kepada Allah.

Rasulullah saw sangat arif tentang hakikat ini,
justeru, apabila beliau ditanya, apakah itu dosa?
Baginda menjawab : “ Dosa ialah sesuatu yang menyebabkan
hati kamu resah dan kamu tidak suka orang lain melihatnya. “

Dosa itu umpama racun.
Bahananya akan merosakkan diri secara perlahan-lahan atau mendadak.
Nikmatnya hanya seketika sedangkan dosanya
 berkekalan dan akibat buruknya panjang.

Tanyalah pada hati kecil, apakah hidup kita
diredai-Nya ?Berapa banyak dosa yang telah kita
lakukan ? Hati itu tidak akan berdusta. Di samping
Allah tahu siapa kita, kita sendiri juga tahu
siapakah diri kita yang sebenarnya. Jadi, janganlah
kita berpura-pura. Siapa yang cuba kita tipu ?
Manusia ? Allah ? Atau diri kita sendiri ? 




Jika kamu seronok melakukan dosa,
 ingatlah bahawa keseronokan itu akan hilang,
tetapi kesannya akan berkekalan.
Tetapi jika kamu penat berbuat pahala,
 ingatlah bahawa kepenatan itu akan hilang
dan kesannya akan berkekalan.

Lalu, apakah tindakan kita pelaku dosa ini ?
Haruskah kita terus bergelumang dengan dosa ?
Hati gersang dan tandus, kelam dengan dosa.

Wahai diri,
Bertaubatlah ! Allah Maha Pengampun.
Manusia memang sentiasa ada kederhakaannya
kepada Allah, sebab itulah kita hajat
pada tarbiah untuk memelihara diri kita.
Kita tidak boleh hidup seorang diri di dunia
yang banyak perangkapnya ini.
Serigala akan cepat menyambar kambing
yang bersendirian.

Setiap hari kita melakukan dosa.
Setiap hari juga kita harus bertaubat.
Perbanyakkan istighfar dan solat sunat taubat.

Imam Al-Ghazali pernah berkata,
Setiap kali kamu bangun pagi,
 tanyalah diri kamu,
mengapa kamu masih hidup ?
 Jika kamu menjawab kerana sihat,
 itu salah kerana banyak orang sihat yang mati.
Jika kamu menjawab kerana muda,
itu salah kerana banyak orang muda yang mati.
 Jawapannya adalah kerana Allah swt memberikan
 kamu peluang untuk bertaubat.
Bertaubatlah, sebelum terlambat.

Setiap dosa besar bermula dengan dosa kecil.
Setiap jenayah anggota bermula daripada dosa hati.
 Tidak hairanlah Rasulullah saw & generasi salafussoleh amat
berhati-hati menjaga hati dengan memperbanyakkan
 istighfar setiap hari meskipun mereka bukanlah pendosa.

Daripada al-Aghar bin Yasar al-Muzani r.a berkata,
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud :
"Wahai sekalian manusia, minta ampunlah (istighfar) kepada Allah SWT.
Sesungguhnya aku meminta ampun & bertaubat kepada Allah SWT 100 kali setiap hari."

=Riwayat Muslim=

Daripada Abu Hurairah r.a, dia berkata,
Aku mendengar Rasulullah saw bersabda yang bermaksud :
"Demi Allah SWT, sesungguhnya aku beristighfar & bertaubat kepada Allah SWT
dalam satu hari lebih daripada 70 kali."

=Riwayat Al-Bukhari=

“ Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya,
Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa-dosa kecil) kamu. “

[ An-Nisa’ : 31 ]

..tawaran istimewa buat pelaku dosa..

Bukti cinta Allah swt kepada hamba-Nya.
Daripada Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah saw telah bersabda
 kepada Abbas Ibn Abdul Muttalib, maksudnya :

“ Wahai Abbas, wahai bapa saudaraku!
Mahukah aku berikan kepada kamu sesuatu?
Mahukah aku berikan sesuatu yang kamu boleh mengambil manfaat daripadanya ?
 Mahukah aku khabarkan kepadamu sesuatu?
Mahukah aku lakukan kepadamu 10 perkara yang apabila
kamu lakukan perkara itu Allah swt akan ampunkan dosa-dosa kamu?
Dosa-dosa yang terdahulu mahupun yang terkemudian ;
dosa yang lama mahupun dosa yang baru ;
dosa-dosa yang dilakukan tanpa sedar mahupun yang dilakukan dengan sengaja ;
dosa yang kecil mahupun dosa yang besar ;
dosa yang tersembunyi mahupun dosa yang nyata ;

Iaitu (hendaklah) engkau dirikan solat sebanyak empat rakaat.
Pada setiap rakaat dibaca al-Fatihah dan surah.
Setelah selesai bacaan surah,
ketika engkau masih berdiri maka bertasbihlah sebanyak 15 kali dengan bacaan :





Kemudian dalam rukuk 10 kali,
sesudah bangun daripada rukuk 10 kali,
semasa sujud pertama 10 kali,
semasa duduk antara dua sujud 10 kali,
semasa sujud kali kedua 10 kali
dan sesudah bangun daripada sujud yang kedua 10 kali.
Ini berjumlah 75 kali.

Dilakukan sedemikian dalam empat rakaat.
Jika mampu, lakukanlah sekali pada setiap hari.
Jika tidak maka sekali pada hari Jumaat ataupun sebulan sekali.
Jika tidak maka setahun sekali.
Sekiranya ini pun engkau tidak dapat lakukan,
maka kerjakanlah sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. “

=Riwayat Abu Daud, Ibn Majah, Al-Baihaqi dan Al-Tirmizi=


Hanya melalui empat rakaat yang sederhana ;
dihiasi dengan tasbih yang sederhana dan mudah ;
tetapi kesan dan impaknya amat dahsyat lagi menakjubkan
 iaitu pengampunan dan penghapusan segala dosa.
Apa jua bentuk dosa yang seseorang itu lakukan,
mereka ditawarkan pengampunan total oleh Allah swt.

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan,
anak Adam mana yang tidak melakukan khilaf dan dosa.
Maka tawaran pengampunan dosa melalui solat sunat Tasbih ini
adalah kurniaan Allah Taala yang tiada taranya untuk kita.

Jika insan-insan hebat seperti Saiyina Abbas dan Saiyidina Ibn Abbas r.a.
bersungguh-sungguh melakukannya, apatah lagi insan seperti kita,
yang kerdil dan banyak dosa ini.
Tentulah lebih-lebih lagi perlu mengejar dan mendapatkan pengampunan
dosa-dosa kita itu melalui solat sunat Tasbih yang hebat ini.

Apa kata iman kita ?
Sungguh berat untuk melakukan solat sunat Tasbih.
Walaupun sekali seumur hidup.
Namun dosa yang menggunung itu jauh lebih berat.
Adakah mesti dibiar terus memberat ?
Hingga saat ke liang lahad ?

Selalu Ingat.
Kalau kita sibuk,
ingatlah ada yang lebih sibuk daripada kita.
Kalau kita penat,
ingatlah ada yang lebih penat daripada kita.
Kalau kita sakit menderita,
ingatlah ada yang lebih derita sengsara daripada kita.
No excuses!

Jika kita nak senang di dunia.
Kita akan penat di akhirat.
Jika kita ingin selesa di akhirat.
Kita perlu penat di dunia.
Bersusah-susah dahulu,
bersenang-senang kemudian.
 Berjuang memang pahit kerana syurga itu manis.
:: syurga itu indah kerana jihad melawan nafsu itu bukan mudah ::



Jauh ku berlari
Mencari erti cinta
Yang ku temui
Hanyalah jauh dari-Nya
Cukuplah…
Cukuplah dengan kealpaan semalam
Takkan kuulangi dosa-dosa silam
Hanya bersama-Mu cinta sejati bersulam
Akan ku damba-Mu
Siang dan malam

“ Seseorang itu tidak akan mencapai tahap Muttaqin
 sebelum dia meninggalkan apa yang tidak berdosa
kerana khuatir terjerumus pada apa yang berdosa. “

=HR TIRMIZI=

Kadang-kadang,
Buat amal pun tidak terlepas daripada dosa.
Dosa RIYA’.
Hidup sia-sia tanpa amal.
Amal bermula dari hati.
Bersih hati, bersihlah amalan.
Oleh itu, peliharalah hati kita.
Agar hidup menjadi soleh solehah.
Mulakan hidup ini dengan
jiwa yang benar.

Bila kamu dapat bangun dari tidur pada suatu pagi,
bererti kamu harus menjadikan hidup kamu lebih bermakna
 sebagai kesyukuran ke hadrat Ilahi.

Whatever we do in this world,
It will be questioned in the afterlife.
Always be careful !

- Islam unites us all -
->> We unite for Islam <<-

^_^

No comments:

Post a Comment