Tuesday 29 November 2011

:: I LoVe yOu beCauSe Of AllaH ::


Sedarlah..
Islam ini sesuatu yang perlu dirasai dan dihayati.
Sama-samalah kita bertanya diri,
Adakah jiwa kita ini berasa nikmat dengan Islam ?

Rasa diri disayangi dan dicintai oleh seseorang itu
sangat bermakna buat diri kita yang dahagakan
 kasih sayang sesama manusia.

Perasaan cinta dan sayang lahir
dari hati yang tulus dan ikhlas.
Cinta yang dikehendaki oleh Allah ialah cinta kerana Allah
 sepertimana hadis berikut.

Daripada Mu’az bin Anas al-Jahni yang meriwayatkan bahawa
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud,
“ Sesiapa sahaja yang memberi kerana Allah,
menolak kerana Allah,
 mencintai kerana Allah,
 membenci kerana Allah dan
 menikah kerana Allah,
 maka bererti ia telah sempurna imannya. “
= Riwayat al-Hakim =

Daripada Anas bin Malik,
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud,
“ Sesiapa pun tidak akan merasakan manisnya iman,
 sehingga ia mencintai seseorang hanya kerana Allah semata. “
= Riwayat al-Bukhari =


Berikut antara sifat-sifat orang yang mencintai
saudaranya kerana Allah :

::: mendoakan saudaranya :::

Ingatan yang tulus ikhlas itu tergambar
dengan iringan doa kepada sahabatnya
walaupun kita tidak berada bersama-samanya.
 Ganjarannya sangat besar untuk kedua-duanya.

Diriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda yang bermaksud,
“ Sesiapa yang mendoakan saudaranya pada saat
 dia tidak bersama-samanya,
 maka malaikat yang diamanahkan untuk
menjaga dan mengawasinya berkata :
 ‘ Semoga Allah mengabulkan dan bagimu
semoga mendapat yang sama dengannya.’ “
= Riwayat Muslim =

::: mengunjungi :::

Disunatkan bagi kita mengunjungi saudara kita
untuk bertanya khabar dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim.
Kunjung-mengunjungi dengan hadir bersama buah tangan
 dapat menguatkan lagi rasa sayang dan menjadi petanda
 bahawa kita mengambil berat tentang dirinya.

::: memberi bantuan :::

Pertolongan dan bantuan segera dihulurkan
kepada saudara kita yang memerlukan.
Kita seharusnya sentiasa berusaha membantu
memenuhi keperluan saudara Muslim yang lain
dan berusaha menghilangkan segala kesusahannya.
Kepayahan dan kesusahan yang dialami oleh saudara kita itu
dapat ditempuhi bersama.
Kita akan berasa bahagia apabila saudara kita bahagia.

::: melakukan perkara yang disukai :::

Diriwayatkaan oleh al-Tabrani dalam kitab al-Saghir,
 Rasulullah saw bersabda yang bermaksud,
“ Sesiapa yang menemui saudaranya yang Muslim dengan
menampakkan perkara yang disukainya kerana ingin membahagiakannnya,
maka Allah akan memberikan kebahagiaan kepadanya pada hari kiamat. “
= Riwayat al-Tabrani =

::: penampilan wajah berseri-seri :::

Seorang Muslim menemui saudaranya dengan wajah berseri-seri
dikira sebagai satu amal kebaikan.

 Diriwayatkan daripada Abu Zar, ia berkata bahawa
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud,
“ Janganlah meremehkan kebaikan sedikit pun,
 walau sekadar bertemu dengan saudaramu dengan wajah yang berseri-seri. “
= Riwayat Muslim =

::: memberi hadiah :::

Memberi buah tangan atau hadiah kepada saudara kita sangat digalakkan.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud,
“ Kalian harus saling memberi hadiah, maka kalian akan saling mencintai. “
= Riwayat al-Bukhari =

Termasuk memberikan  balasan hadiah yang setimpal
adalah jika seorang Muslim mengatakan kepada saudaranya :
 “ Jazakallah khairan”,
ertinya semoga Allah membalasmu dengan kebaikan.

Al-Tirmizi meriwayatkan daripada Usamah bin Zaid, bahawa
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud,
“ Sesiapa yang diberi kebaikan kemudian ia berkata
kepada orang yang memberikan kebaikan :
‘Jazakallah khairan’
( semoga Allah membalasmu dengan kebaikan ),
 maka sungguh dia telah memberikan pujian yang sangat baik. “
= Riwayat al-Tirmizi =

::: memberi maaf :::

Bermaaf-maafan antara saudara harus menjadi amalan
 semua umat Islam kerana ia akan
memelihara keharmonian sejagat.
 Kita juga tidak harus menyimpan rasa dendam
kerana ia akan menimbulkan kebencian,
kebencian akan membuatkan umat Islam berpecah belah.
Tidak ada manusia yang tidak melakukan kesilapan.
Dengan memberi maaf, semoga kita juga akan dimaafkan.

::: menyimpan rahsia :::

Wajib menjaga rahsia seorang Muslim.

 Abu Daud dan al-Tirmizi meriwayatkan daripada Jabir, sesungguhnya
 Rasulullah saw bersabda yang bermaksud,
“ Jika seseorang berkata kepada orang lain dengan suatu perkataan,
kemudian ia menoleh ( melihat sekelilingnya ),
maka pembicaraan itu adalah amanah. “
Amanah ini merupakan perkara yang amat berat untuk dijaga.
= Riwayat Abu Daud & al-Tirmizi =



Mari refleksi diri.
 Adakah kita miliki sifat-sifat di atas ?
Adakah kita cintai sahabat kita kerana Allah ?
Tajdid niat di lubuk hati.
Dan berusaha untuk memiliki sifat-sifat
sahabat yang mencintai sahabatnya kerana Allah swt.

Source : Solusi No 36 by HJ. Zainuddin Ali



Whatever we do in this world,
It will be questioned in the afterlife.
Always be careful !

- Islam unites us all -
->> We unite for Islam <<-
^_^

Saturday 26 November 2011

:: TuTuP DoSa ::


Sedarlah..
Islam ini sesuatu yang perlu dirasai dan dihayati.
Sama-samalah kita bertanya diri,
Adakah jiwa kita ini berasa nikmat dengan Islam ?

Jika kamu merasa malu membuka pekung di dada sendiri,
tidakkah aib dan salah kamu meminta orang lain
membuka pekung mereka juga ?



Setiap daripada kita melakukan dosa.
Dosa daripada perlakuan maksiat dan munkar bermacam-macam.
Dosa dari hati yang lalai,
lidah yang menjarah,
panca indera yang melanggar dan merempit,
bahkan sikap dan akhlak kita yang jengkil.
Kita berdosa kerana kita adalah manusia.
Setiap manusia mesti berdosa.
Jika tidak kerana dimaksumkan oleh Allah,
para anbiya’ juga berdosa.
Mereka juga manusia.

Tetapi dosa adalah penyakit yang menyerang manusia.
Kerananya manusia lemah dan mati.
Ia mesti dibuang sesegeranya sebelum ia menjalar dan merebak
lalu mencetus penyakit yang lebih parah.
Ia kuman yang sesetengahnya boleh membunuh.

Dosa juga adalah keaiban dan kehinaan.
Ia mesti ditutup.
Ia mesti tidak didedahkan.
Apabila ia terdedah atau didedahkan,
ia akan merendahkan kedudukan tuannya di mata manusia yang beriman,
apatah lagi di mata manusia yang berpenyakit yang seronok
penyakitnya menjangkiti orang lain pula.
Dia mungkin kehilangan thiqah dan
kepercayaan orang lain kepadanya.



Kerana itu dosa  mestilah dijauhi dan dielakkan.
Jika berlaku dosa, ia mesti dibuang sesegeranya.
Jika ada dosa, ia mesti ditutup dan disembunyikan daripada
pandangan manusia seluruhnya.

Jauhilah dosa dengan sifat taqwa.
Hilangkanlah dosa dengan taubat.
Sembunyikanlah dosa dengan sitrah / penutup.

Maka tanamkanlah dan bajailah sifat taqwa,
nescaya kita tidak mudah berdosa
kerana taqwa mendorong kita membenci dosa
dan menyukai ketaatan.

Segeralah bertaubat dan beristighfar.
Ia bagai angin kuat yang menggugurkan dedaun kering dari rantingnya.
Ia lalu memucukkan daunan yang lebih segar dan menghijau.

Tutuplah dosa diri dengan tidak melakukannya secara terang-terangan
dan bisukanlah lidahmu daripada menceritakan dosa dan aib
yang engkau lakukan sendirian.

Bersyukurlah kerana dikurniakan taqwa yang terlalu didamba orang beriman.
Bersyukurlah kerana dimudahkan bertaubat daripada dosa
yang mengeraskan hati dan jiwa.
Bersyukurlah kerana disembunyikan dosa diri
daripada pengetahuan manusia.

Besarnya kasih sayang Allah swt kepada kita
kerana betapa banyaknya dosa kita
ditutup-Nya daripada penglihatan manusia.

Bodohnya kita apabila mendedahkan dosa dan aib
yang telah ditutup Allah swt dengan sitrah-Nya kepada manusia.

Apabila Allah swt ingin menghukum hamba-Nya di dunia,
didedahkan keaibannya dan perlakuan jahatnya kepada
seluruh manusia,
lalu runtuhlah segala maruah diri yang dibina.

Murkanya Allah swt pada manusia yang membuka aibnya sendiri
selepas ditutupi-Nya.

Tidak sama dosa terang-terangan dengan dosa yang dilakukan secara sembunyi.

Doa Rasulullah saw,
“ Tuhanku, ampunilah dosa kami,
tutuplah keaiban kami dan janganlah dibiar
musuh kami memperlekehkan kami. “

Betullah kata-kata ulama,
Jika dosa itu berbau, nescaya ku tak mampu keluar rumah
kerana malu busuk tubuhku dikesani
orang kerana dosa-dosaku…
Renungkan..

Source : Sepahit Jaddam by Ustaz Nik Mohammad Abduh

Whatever we do in this world,
It will be questioned in the afterlife.
Always be careful !

- Islam unites us all –
->> We unite for Islam <<-
^_^

:: aku penDoSa ::


Sedarlah..
Islam ini sesuatu yang perlu dirasai dan dihayati,
sama-samalah kita bertanya diri.
Adakah jiwa kita ini,
berasa nikmat dengan Islam ?

Dorongan di sekitar terlalu mendesak
untuk jauh daripada Allah swt.
Akibatnya, jiwa menjadi gersang,
fikiran menjadi celaru,
fizikal menjadi lemah beramal.
Hidup ini terasa kosong,
apabila kita semakin jauh dari-Nya.
Kerana banyak melakukan maksiat dan dosa.

Dosa oh dosa.
Mengapa dosa sering menghimpit kita ?
Mengapa kita selalu lalai dan leka ?
Sungguh licik syaitan itu.
Fitrah insani.
Tiada siapa yang berjaya lari dari dosa.

Kita sering meletakkan diri kita di zon selesa,
sampaikan kita lupa tujuan hidup kita yang sebenar.

Setiap insan tidak terlepas daripada dosa.
Namun, orang  beriman yang berdosa  melihat
dosa itu seperti gunung yang menghempap.
Berbeza dengan orang yang tidak beriman,
tidak kemas keimanannya, apabila berdosa,
dia fikir dosa itu hanya ibarat lalat yang hinggap
di hidung dan boleh dikuis pergi dengan mudah.

Dosa itu sesuatu yang meresahkan.
Tidak ada ketenangan dan kebahagiaan dalam melakukan dosa.
Jika adapun hanya sementara, kemudian rasa gelisah itu
akan datang lagi dengan lebih menggigit.
Rasa bersalah itu sangat menyeksa selagi tidak ditebus dengan maaf dan taubat.
Bersalah  dengan manusia pun sudah cukup meresahkan,
apatah lagi berdosa kepada Allah.

Rasulullah saw sangat arif tentang hakikat ini,
justeru, apabila beliau ditanya, apakah itu dosa?
Baginda menjawab : “ Dosa ialah sesuatu yang menyebabkan
hati kamu resah dan kamu tidak suka orang lain melihatnya. “

Dosa itu umpama racun.
Bahananya akan merosakkan diri secara perlahan-lahan atau mendadak.
Nikmatnya hanya seketika sedangkan dosanya
 berkekalan dan akibat buruknya panjang.

Tanyalah pada hati kecil, apakah hidup kita
diredai-Nya ?Berapa banyak dosa yang telah kita
lakukan ? Hati itu tidak akan berdusta. Di samping
Allah tahu siapa kita, kita sendiri juga tahu
siapakah diri kita yang sebenarnya. Jadi, janganlah
kita berpura-pura. Siapa yang cuba kita tipu ?
Manusia ? Allah ? Atau diri kita sendiri ? 




Jika kamu seronok melakukan dosa,
 ingatlah bahawa keseronokan itu akan hilang,
tetapi kesannya akan berkekalan.
Tetapi jika kamu penat berbuat pahala,
 ingatlah bahawa kepenatan itu akan hilang
dan kesannya akan berkekalan.

Lalu, apakah tindakan kita pelaku dosa ini ?
Haruskah kita terus bergelumang dengan dosa ?
Hati gersang dan tandus, kelam dengan dosa.

Wahai diri,
Bertaubatlah ! Allah Maha Pengampun.
Manusia memang sentiasa ada kederhakaannya
kepada Allah, sebab itulah kita hajat
pada tarbiah untuk memelihara diri kita.
Kita tidak boleh hidup seorang diri di dunia
yang banyak perangkapnya ini.
Serigala akan cepat menyambar kambing
yang bersendirian.

Setiap hari kita melakukan dosa.
Setiap hari juga kita harus bertaubat.
Perbanyakkan istighfar dan solat sunat taubat.

Imam Al-Ghazali pernah berkata,
Setiap kali kamu bangun pagi,
 tanyalah diri kamu,
mengapa kamu masih hidup ?
 Jika kamu menjawab kerana sihat,
 itu salah kerana banyak orang sihat yang mati.
Jika kamu menjawab kerana muda,
itu salah kerana banyak orang muda yang mati.
 Jawapannya adalah kerana Allah swt memberikan
 kamu peluang untuk bertaubat.
Bertaubatlah, sebelum terlambat.

Setiap dosa besar bermula dengan dosa kecil.
Setiap jenayah anggota bermula daripada dosa hati.
 Tidak hairanlah Rasulullah saw & generasi salafussoleh amat
berhati-hati menjaga hati dengan memperbanyakkan
 istighfar setiap hari meskipun mereka bukanlah pendosa.

Daripada al-Aghar bin Yasar al-Muzani r.a berkata,
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud :
"Wahai sekalian manusia, minta ampunlah (istighfar) kepada Allah SWT.
Sesungguhnya aku meminta ampun & bertaubat kepada Allah SWT 100 kali setiap hari."

=Riwayat Muslim=

Daripada Abu Hurairah r.a, dia berkata,
Aku mendengar Rasulullah saw bersabda yang bermaksud :
"Demi Allah SWT, sesungguhnya aku beristighfar & bertaubat kepada Allah SWT
dalam satu hari lebih daripada 70 kali."

=Riwayat Al-Bukhari=

“ Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya,
Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa-dosa kecil) kamu. “

[ An-Nisa’ : 31 ]

..tawaran istimewa buat pelaku dosa..

Bukti cinta Allah swt kepada hamba-Nya.
Daripada Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah saw telah bersabda
 kepada Abbas Ibn Abdul Muttalib, maksudnya :

“ Wahai Abbas, wahai bapa saudaraku!
Mahukah aku berikan kepada kamu sesuatu?
Mahukah aku berikan sesuatu yang kamu boleh mengambil manfaat daripadanya ?
 Mahukah aku khabarkan kepadamu sesuatu?
Mahukah aku lakukan kepadamu 10 perkara yang apabila
kamu lakukan perkara itu Allah swt akan ampunkan dosa-dosa kamu?
Dosa-dosa yang terdahulu mahupun yang terkemudian ;
dosa yang lama mahupun dosa yang baru ;
dosa-dosa yang dilakukan tanpa sedar mahupun yang dilakukan dengan sengaja ;
dosa yang kecil mahupun dosa yang besar ;
dosa yang tersembunyi mahupun dosa yang nyata ;

Iaitu (hendaklah) engkau dirikan solat sebanyak empat rakaat.
Pada setiap rakaat dibaca al-Fatihah dan surah.
Setelah selesai bacaan surah,
ketika engkau masih berdiri maka bertasbihlah sebanyak 15 kali dengan bacaan :





Kemudian dalam rukuk 10 kali,
sesudah bangun daripada rukuk 10 kali,
semasa sujud pertama 10 kali,
semasa duduk antara dua sujud 10 kali,
semasa sujud kali kedua 10 kali
dan sesudah bangun daripada sujud yang kedua 10 kali.
Ini berjumlah 75 kali.

Dilakukan sedemikian dalam empat rakaat.
Jika mampu, lakukanlah sekali pada setiap hari.
Jika tidak maka sekali pada hari Jumaat ataupun sebulan sekali.
Jika tidak maka setahun sekali.
Sekiranya ini pun engkau tidak dapat lakukan,
maka kerjakanlah sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. “

=Riwayat Abu Daud, Ibn Majah, Al-Baihaqi dan Al-Tirmizi=


Hanya melalui empat rakaat yang sederhana ;
dihiasi dengan tasbih yang sederhana dan mudah ;
tetapi kesan dan impaknya amat dahsyat lagi menakjubkan
 iaitu pengampunan dan penghapusan segala dosa.
Apa jua bentuk dosa yang seseorang itu lakukan,
mereka ditawarkan pengampunan total oleh Allah swt.

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan,
anak Adam mana yang tidak melakukan khilaf dan dosa.
Maka tawaran pengampunan dosa melalui solat sunat Tasbih ini
adalah kurniaan Allah Taala yang tiada taranya untuk kita.

Jika insan-insan hebat seperti Saiyina Abbas dan Saiyidina Ibn Abbas r.a.
bersungguh-sungguh melakukannya, apatah lagi insan seperti kita,
yang kerdil dan banyak dosa ini.
Tentulah lebih-lebih lagi perlu mengejar dan mendapatkan pengampunan
dosa-dosa kita itu melalui solat sunat Tasbih yang hebat ini.

Apa kata iman kita ?
Sungguh berat untuk melakukan solat sunat Tasbih.
Walaupun sekali seumur hidup.
Namun dosa yang menggunung itu jauh lebih berat.
Adakah mesti dibiar terus memberat ?
Hingga saat ke liang lahad ?

Selalu Ingat.
Kalau kita sibuk,
ingatlah ada yang lebih sibuk daripada kita.
Kalau kita penat,
ingatlah ada yang lebih penat daripada kita.
Kalau kita sakit menderita,
ingatlah ada yang lebih derita sengsara daripada kita.
No excuses!

Jika kita nak senang di dunia.
Kita akan penat di akhirat.
Jika kita ingin selesa di akhirat.
Kita perlu penat di dunia.
Bersusah-susah dahulu,
bersenang-senang kemudian.
 Berjuang memang pahit kerana syurga itu manis.
:: syurga itu indah kerana jihad melawan nafsu itu bukan mudah ::



Jauh ku berlari
Mencari erti cinta
Yang ku temui
Hanyalah jauh dari-Nya
Cukuplah…
Cukuplah dengan kealpaan semalam
Takkan kuulangi dosa-dosa silam
Hanya bersama-Mu cinta sejati bersulam
Akan ku damba-Mu
Siang dan malam

“ Seseorang itu tidak akan mencapai tahap Muttaqin
 sebelum dia meninggalkan apa yang tidak berdosa
kerana khuatir terjerumus pada apa yang berdosa. “

=HR TIRMIZI=

Kadang-kadang,
Buat amal pun tidak terlepas daripada dosa.
Dosa RIYA’.
Hidup sia-sia tanpa amal.
Amal bermula dari hati.
Bersih hati, bersihlah amalan.
Oleh itu, peliharalah hati kita.
Agar hidup menjadi soleh solehah.
Mulakan hidup ini dengan
jiwa yang benar.

Bila kamu dapat bangun dari tidur pada suatu pagi,
bererti kamu harus menjadikan hidup kamu lebih bermakna
 sebagai kesyukuran ke hadrat Ilahi.

Whatever we do in this world,
It will be questioned in the afterlife.
Always be careful !

- Islam unites us all -
->> We unite for Islam <<-

^_^

Saturday 19 November 2011

:: Apa erti ImAn ::


Sedarlah..
Islam ini sesuatu yang perlu dirasai dan dihayati.
Sama-samalah kita bertanya diri,
Adakah jiwa kita ini berasa nikmat dengan Islam ?

Keimanan.
Ramai yang menyangka keimanan itu satu perkara yang enteng.
Hakikatnya, keimanan adalah perkara asas yang paling penting
dalam pembinaan insaniah menuju ketaatan kepada Allah swt.

Iman tidak akan mampu dicapai hanya dengan kata-kata.
Iman juga tidak cukup sekadar ikrar disimpan dalam hati.

Iman adalah apabila manusia berjaya menterjemahkan
apa yang tersimpan di dalam hatinya tadi,
ke dalam amal.

Bagaimana dengan artis yang tidak bertudung tetapi
berkata dalam hatinya, iman dia kuat ?

Dari satu segi, betul amal itu terjemahan iman kita.
Dari satu segi lain, perkara ini adalah untuk kita timbang diri kita,
 bukan menuding jari pada orang lain.

Perkara ini adalah kayu ukur untuk diri kita.
Ini bukan kefahaman yang menjadi lesen
untuk kita kata orang lain tidak beriman.






Iman perlu difahami dengan baik.
Iman sangat penting kerana dengannya,
manusia akan berasa kekok melakukan maksiat,
juga berasa ringan berbuat kebaikan.

Kalau iman ini maksudnya percaya,
apa bezanya dengan keimanan orang lain 
pada agama mereka ?

Keimanan kita, adalah kepada yang ghaib.
Kita tidak nampak Allah.
Kita tidak nampak malaikat.
Kita tidak nampak syurga dan neraka.
Kita tidak tahu bagaimana sistem qada’ qadar yang sebenarnya.

Tetapi kita beriman dengan semua itu.
Agama lain, mereka tidak mampu mempercayai yang ghaib.
Sebab itu, kita lihat, agama lain mewujudkan berhala
 lalu menyembahnya.

Kita beriman bahawa Allah Maha Melihat,
Allah Maha Mendengar.
Kita beriman betapa ada dua malaikat yang sentiasa
mencatat amalan kita.
Kita juga beriman setiap amalan akan ditimbang.
Ada syurga, ada neraka.

Di situ, apakah patut kita
melakukan apa yang tidak disukai Allah swt ?

Dengan keimanan ini,
kita akan mampu menjaga diri kita sepanjang masa.

“ Sesungguhnya Rasulullah saw pernah bersabda :
Seorang penzina tidak akan berzina
 jika ketika itu dia berada dalam keimanan.
Seorang pencuri tidak akan mencuri
 jika ketika itu dia berada dalam keimanan
iaitu iman yang sempurna.
Begitu juga seorang peminum arak tidak akan meminum arak
jika ketika itu dia berada dalam keimanan. “
= Riwayat Bukhari =

Sebab itu Rasulullah saw memulakan dakwahnya dengan
membina keimanan insan terlebih dahulu.

Allah swt telah menyusun umat Islam ini,
ditarbiyah keimanan.

Fasa Makkah selama tiga belas tahun.
Lebih lama daripada fasa Madinah yang hanya sepuluh tahun.
Masa itu, tiada ayat hukum yang turun,
melainkan ayat tentang solat ketika penghujung fasa tersebut.

Ayat-ayat Al-Quran yang turun ketika itu hanyalah berkenaan
syurga dan neraka, kaum-kaum terdahulu,
akhlak dan adab serta perkara-perkara yang berkaitan akidah.

Iman adalah sangat penting meskipun
iman ini perkara yang tidak terlihat.
Iman ibarat piling semasa membuat bangunan.
Apabila hendak membuat sesuatu bangunan,
yang paling penting adalah dasarnya.
Bukan bentuk bilik, bukan warna dinding.
Itu semua datang kemudian.

Perkara yang pertama perlu dilakukan adalah 
membina dasar yang kukuh.
Sekukuh mana dasar, kita tidak dapat melihatnya.
Yang kita lihat adalah rumah yang kukuh.
Tetapi kenapa rumah kukuh ?
Kerana dasarnya kuat dan teguh.
Begitulah dengan iman.

Apabila perkara keimanan ini boleh diselesaikan,
maka akan selesailah semua masalah.

Semua nabi dan rasul menyeru kepada seruan yang satu.
Iaitu beriman kepada Allah swt dan hari akhirat.
Keimanan adalah dasar untuk kita menjalani
kehidupan di dunia ini dengan baik.

Kalau keimanan ini selesai,
masalah-masalah lain seperti rosak akhlak,
kebejatan social, korupsi, hasad dengki,
pergaduhan dan kelemahan umat,
semuanya akan selesai.

Justeru, kita perlu perkemaskan keimanan kita.
Kita lihat para sahabat Rasulullah saw.
Apabila keimanan terbentuk kemas,
di situlah kita dapat melihat lahirnya 
peribadi-peribadi seperti
Abu Bakr RA,
Umar al-Khattab RA,
Abdurrahman bin Auf RA,
Suhaib ar-Rumi RA,
Bilal bin Rabah RA,
Sa’ad bin Mu’az RA,
Abu Talhah RA,
Ummu Sulaym RH,
Nusaibah RH,
Fatimah RH
dan ramai lagi Sahabat yang kita kagumi
sahsiah mereka sehingga ke hari ini.

Suhaib ar-Rumi RA sanggup berhijrah meninggalkan
 Makkah sehelai sepinggang,
sedangkan dia adalah pedagang yang amat kaya.
Keimanannya membuatkan dia sanggup
mengorbankan harta yang dia sayangi.

Ini kerana, ketika itu dia mencintai Allah
 lebih daripada segala perkara.
Kalau harta yang bernilai jutaan ringgit 
sanggup dia tinggalkan
demi mentaati Allah,
apakah arahan-arahan Allah swt sanggup dia abaikan ?

Abu Bakr pula menginfakkan seluruh hartanya.
Apabila Rasulullah saw bertanya,
“ Apakah yang kamu tinggalkan untuk keluarga kamu,
 wahai Abu Bakr ? “
Dia menjawab dengan tenang,
“ Saya tinggalkan mereka dengan Allah dan Rasul. “

Ini hasil daripada keimanan.
Apakah orang begini akan menjadi
 pemimpin yang korup ?

Keimanan Abu Bakr jika disukat dengan semua
keimanan makhluk yang ada,
sampai hari kiamat pun timbangannya tetap lebih berat.
Keimanan ini sampai kita percaya bahawa
Allah swt sahajalah yang paling berkuasa.
Menguasai semua.

Kita lihat pula satu contoh bagaimana keimanan
menyelesaikan masalah masyarakat.
Kita ambil contoh popular, yakni arak.
Direkodkan bahawa Amerika Syarikat pernah berusaha
mengharamkan arak dengan menggunakan teknik saman,
teknik penjara dan sebagainya.
Tetapi mereka tidak berjaya, malah rugi berbilion Dollar.

Sekarang, mari kita lihat,
bagaimana keadaan masyarakat yang telah 
diproses keimanan mereka.
Apabila Allah swt menurunkan ayat ketiga berkenaan arak,
yakni ayat pengharaman arak, 
para Sahabat serta-merta meninggalkannya.

Ketika ayat itu diturunkan, 
ada yang sedang meneguk arak.
Mereka serta-merta menghamburkannya.
Tempayan-tempayan arak dipecahkan.
Malah dinyatakan ketika itu,
Madinah dibanjiri arak apabila 
ayat pengharaman arak turun.

Allah berfirman yang bermaksud,
“ Wahai orang-orang yang beriman!
Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala,
dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah,
adalah ( semuanya ) kotor ( keji ) daripada perbuatan syaitan.
Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. “
[ Al-Maidah : 90 ]

Rasulullah saw tidak mengeluarkan sesen pun.
Tetapi keimanan yang bergetar dalam jiwa orang beriman itulah
yang membuatkan mereka menyahut seruan Allah swt tadi.
Sebab ,mereka beriman bahawa Allah swt tidak akan melarang,
mengharamkan sesuatu itu,
melainkan perkara yang dilarang itu
memberikan keburukan pada mereka.

Begitu sekali kesan keimanan.
Apakah orang beriman tidak melakukan dosa ?

Orang beriman juga ada buat dosa.
Tetapi ada bezanya orang beriman yang berdosa,
dengan orang tidak beriman yang berdosa.

Diriwayatkan bahawa Ka’ab bin Malik
tidak mengikuti Perang Tabuk.
Apabila Rasulullah saw pulang,
dia berkata jujur kepada Rasulullah saw dengan tidak
memberikan alasan yang tidak sepatutnya.
Sedangkan, bersama beliau, ramai lagi orang munafik
yang memberikan pelbagai alasan palsu.
Rasulullah saw tidak berkata apa-apa
kepada orang-orang munafik itu.

Tetapi Ka’ab bin Malik jujur.
Ka’ab bin Malik dinyatakan berkata,

“ Wahai Rasulullah, aku boleh sahaja berkata bohong kepadamu
dengan memberikan alasan yang serupa dengan mereka itu.
Tetapi aku tahu,
Allah swt tahu apakah aku jujur atau tidak terhadapmu. “

Orang beriman yang berdosa,
akan melihat dosa itu seperti gunung yang menghempap.
Orang yang tidak beriman, tidak kemas keimanannya,
apabila berdosa,
dia fikir dosa itu hanya ibarat lalat yang hinggap di hidung
dan boleh dikuis pergi dengan mudah.

Sebab itu, keimanan perlu menjadi titik dorongan kita.
Kita belajar didorong oleh iman.
Barulah kita belajar bersungguh-sungguh.

Kita mengajak orang kepada kebaikan,
perlulah didasari oleh keimanan.
Barulah ada ketabahan dan kecekalan.

Kita memerintah negara juga didorong oleh keimanan,
barulah selamat daripada korupsi dan salah guna kuasa.

Apa sahaja dalam hidup ini,
kita perlu memulakannya dengan keimanan.

Taqwalah yang akan menjaga kita daripada
semua perlakuan buruk itu.
Tetapi taqwa hanya datang selepas kita beriman.
Sebab itu, Allah menyeru orang-orang beriman untuk
bertaqwa dengan sebenar-benar ketaqwaan.

 Allah swt berfirman yang bermaksud,
“ Wahai orang-orang yang beriman!
Bertaqwalah kamu dengan sebenar-benar taqwa,
dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan
dalam keadaan Islam. “
[ Ali Imran : 102 ]

Akhir sekali, keimanan itu jugalah yang membuatkan kita
mampu melaksanakan apa sahaja arahan Allah swt.
Walaupun sukar.
Walaupun seluruh dunia membenci kita.

Kalu kita tengok,
hari ini seluruh dunia menggelar Islam agama pengganas.
Ada musuh-musuh Allah yang benci melihat Islam ini naik.
Keimanan akan membuatkan kita yakin bahawa
pertolongan Allah itu dekat.
Di situ kita akan tabah dan bersungguh-sungguh.

Sebab itu, apabila Allah swt menyebut
“ Wahai orang-orang yang beriman…”
dalam Al-Quran,
kita akan rasa terpanggil,
hati akan rasa bergetar dengan semua ayat Allah swt.
Kerana kita beriman dengan-Nya.

Keimanan manusia itu ada naik turunnya.
Sebab itu,
penting ada sahabat yang boleh ingat-memperingatkan.
Kerana peringatan itu berguna
untuk orang yang beriman.

Allah swt berfirman yang bermaksud,
“ Dan berilah peringatan,
sesungguhnya peringatan itu bermanfaat
 untuk orang yang beriman. “
[ Adz-Dzariyyat : 55 ]

Kita perlu berusaha untuk asas keimanan kita.
Barulah mudah untuk tingkatkan kualiti diri.

Apabila hati-hati itu terhubung dengan keimanan,
ia akan menghasilkan sesuatu yang luar biasa.

Source: Novel Sinergi by Hilal Asyraf

Whatever we do in this world,
It will be questioned in the afterlife.
Always be careful !

- Islam unites us all -
->> We unite for Islam <<-
^_^