Saturday 19 November 2011

:: Apa erti ImAn ::


Sedarlah..
Islam ini sesuatu yang perlu dirasai dan dihayati.
Sama-samalah kita bertanya diri,
Adakah jiwa kita ini berasa nikmat dengan Islam ?

Keimanan.
Ramai yang menyangka keimanan itu satu perkara yang enteng.
Hakikatnya, keimanan adalah perkara asas yang paling penting
dalam pembinaan insaniah menuju ketaatan kepada Allah swt.

Iman tidak akan mampu dicapai hanya dengan kata-kata.
Iman juga tidak cukup sekadar ikrar disimpan dalam hati.

Iman adalah apabila manusia berjaya menterjemahkan
apa yang tersimpan di dalam hatinya tadi,
ke dalam amal.

Bagaimana dengan artis yang tidak bertudung tetapi
berkata dalam hatinya, iman dia kuat ?

Dari satu segi, betul amal itu terjemahan iman kita.
Dari satu segi lain, perkara ini adalah untuk kita timbang diri kita,
 bukan menuding jari pada orang lain.

Perkara ini adalah kayu ukur untuk diri kita.
Ini bukan kefahaman yang menjadi lesen
untuk kita kata orang lain tidak beriman.






Iman perlu difahami dengan baik.
Iman sangat penting kerana dengannya,
manusia akan berasa kekok melakukan maksiat,
juga berasa ringan berbuat kebaikan.

Kalau iman ini maksudnya percaya,
apa bezanya dengan keimanan orang lain 
pada agama mereka ?

Keimanan kita, adalah kepada yang ghaib.
Kita tidak nampak Allah.
Kita tidak nampak malaikat.
Kita tidak nampak syurga dan neraka.
Kita tidak tahu bagaimana sistem qada’ qadar yang sebenarnya.

Tetapi kita beriman dengan semua itu.
Agama lain, mereka tidak mampu mempercayai yang ghaib.
Sebab itu, kita lihat, agama lain mewujudkan berhala
 lalu menyembahnya.

Kita beriman bahawa Allah Maha Melihat,
Allah Maha Mendengar.
Kita beriman betapa ada dua malaikat yang sentiasa
mencatat amalan kita.
Kita juga beriman setiap amalan akan ditimbang.
Ada syurga, ada neraka.

Di situ, apakah patut kita
melakukan apa yang tidak disukai Allah swt ?

Dengan keimanan ini,
kita akan mampu menjaga diri kita sepanjang masa.

“ Sesungguhnya Rasulullah saw pernah bersabda :
Seorang penzina tidak akan berzina
 jika ketika itu dia berada dalam keimanan.
Seorang pencuri tidak akan mencuri
 jika ketika itu dia berada dalam keimanan
iaitu iman yang sempurna.
Begitu juga seorang peminum arak tidak akan meminum arak
jika ketika itu dia berada dalam keimanan. “
= Riwayat Bukhari =

Sebab itu Rasulullah saw memulakan dakwahnya dengan
membina keimanan insan terlebih dahulu.

Allah swt telah menyusun umat Islam ini,
ditarbiyah keimanan.

Fasa Makkah selama tiga belas tahun.
Lebih lama daripada fasa Madinah yang hanya sepuluh tahun.
Masa itu, tiada ayat hukum yang turun,
melainkan ayat tentang solat ketika penghujung fasa tersebut.

Ayat-ayat Al-Quran yang turun ketika itu hanyalah berkenaan
syurga dan neraka, kaum-kaum terdahulu,
akhlak dan adab serta perkara-perkara yang berkaitan akidah.

Iman adalah sangat penting meskipun
iman ini perkara yang tidak terlihat.
Iman ibarat piling semasa membuat bangunan.
Apabila hendak membuat sesuatu bangunan,
yang paling penting adalah dasarnya.
Bukan bentuk bilik, bukan warna dinding.
Itu semua datang kemudian.

Perkara yang pertama perlu dilakukan adalah 
membina dasar yang kukuh.
Sekukuh mana dasar, kita tidak dapat melihatnya.
Yang kita lihat adalah rumah yang kukuh.
Tetapi kenapa rumah kukuh ?
Kerana dasarnya kuat dan teguh.
Begitulah dengan iman.

Apabila perkara keimanan ini boleh diselesaikan,
maka akan selesailah semua masalah.

Semua nabi dan rasul menyeru kepada seruan yang satu.
Iaitu beriman kepada Allah swt dan hari akhirat.
Keimanan adalah dasar untuk kita menjalani
kehidupan di dunia ini dengan baik.

Kalau keimanan ini selesai,
masalah-masalah lain seperti rosak akhlak,
kebejatan social, korupsi, hasad dengki,
pergaduhan dan kelemahan umat,
semuanya akan selesai.

Justeru, kita perlu perkemaskan keimanan kita.
Kita lihat para sahabat Rasulullah saw.
Apabila keimanan terbentuk kemas,
di situlah kita dapat melihat lahirnya 
peribadi-peribadi seperti
Abu Bakr RA,
Umar al-Khattab RA,
Abdurrahman bin Auf RA,
Suhaib ar-Rumi RA,
Bilal bin Rabah RA,
Sa’ad bin Mu’az RA,
Abu Talhah RA,
Ummu Sulaym RH,
Nusaibah RH,
Fatimah RH
dan ramai lagi Sahabat yang kita kagumi
sahsiah mereka sehingga ke hari ini.

Suhaib ar-Rumi RA sanggup berhijrah meninggalkan
 Makkah sehelai sepinggang,
sedangkan dia adalah pedagang yang amat kaya.
Keimanannya membuatkan dia sanggup
mengorbankan harta yang dia sayangi.

Ini kerana, ketika itu dia mencintai Allah
 lebih daripada segala perkara.
Kalau harta yang bernilai jutaan ringgit 
sanggup dia tinggalkan
demi mentaati Allah,
apakah arahan-arahan Allah swt sanggup dia abaikan ?

Abu Bakr pula menginfakkan seluruh hartanya.
Apabila Rasulullah saw bertanya,
“ Apakah yang kamu tinggalkan untuk keluarga kamu,
 wahai Abu Bakr ? “
Dia menjawab dengan tenang,
“ Saya tinggalkan mereka dengan Allah dan Rasul. “

Ini hasil daripada keimanan.
Apakah orang begini akan menjadi
 pemimpin yang korup ?

Keimanan Abu Bakr jika disukat dengan semua
keimanan makhluk yang ada,
sampai hari kiamat pun timbangannya tetap lebih berat.
Keimanan ini sampai kita percaya bahawa
Allah swt sahajalah yang paling berkuasa.
Menguasai semua.

Kita lihat pula satu contoh bagaimana keimanan
menyelesaikan masalah masyarakat.
Kita ambil contoh popular, yakni arak.
Direkodkan bahawa Amerika Syarikat pernah berusaha
mengharamkan arak dengan menggunakan teknik saman,
teknik penjara dan sebagainya.
Tetapi mereka tidak berjaya, malah rugi berbilion Dollar.

Sekarang, mari kita lihat,
bagaimana keadaan masyarakat yang telah 
diproses keimanan mereka.
Apabila Allah swt menurunkan ayat ketiga berkenaan arak,
yakni ayat pengharaman arak, 
para Sahabat serta-merta meninggalkannya.

Ketika ayat itu diturunkan, 
ada yang sedang meneguk arak.
Mereka serta-merta menghamburkannya.
Tempayan-tempayan arak dipecahkan.
Malah dinyatakan ketika itu,
Madinah dibanjiri arak apabila 
ayat pengharaman arak turun.

Allah berfirman yang bermaksud,
“ Wahai orang-orang yang beriman!
Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala,
dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah,
adalah ( semuanya ) kotor ( keji ) daripada perbuatan syaitan.
Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. “
[ Al-Maidah : 90 ]

Rasulullah saw tidak mengeluarkan sesen pun.
Tetapi keimanan yang bergetar dalam jiwa orang beriman itulah
yang membuatkan mereka menyahut seruan Allah swt tadi.
Sebab ,mereka beriman bahawa Allah swt tidak akan melarang,
mengharamkan sesuatu itu,
melainkan perkara yang dilarang itu
memberikan keburukan pada mereka.

Begitu sekali kesan keimanan.
Apakah orang beriman tidak melakukan dosa ?

Orang beriman juga ada buat dosa.
Tetapi ada bezanya orang beriman yang berdosa,
dengan orang tidak beriman yang berdosa.

Diriwayatkan bahawa Ka’ab bin Malik
tidak mengikuti Perang Tabuk.
Apabila Rasulullah saw pulang,
dia berkata jujur kepada Rasulullah saw dengan tidak
memberikan alasan yang tidak sepatutnya.
Sedangkan, bersama beliau, ramai lagi orang munafik
yang memberikan pelbagai alasan palsu.
Rasulullah saw tidak berkata apa-apa
kepada orang-orang munafik itu.

Tetapi Ka’ab bin Malik jujur.
Ka’ab bin Malik dinyatakan berkata,

“ Wahai Rasulullah, aku boleh sahaja berkata bohong kepadamu
dengan memberikan alasan yang serupa dengan mereka itu.
Tetapi aku tahu,
Allah swt tahu apakah aku jujur atau tidak terhadapmu. “

Orang beriman yang berdosa,
akan melihat dosa itu seperti gunung yang menghempap.
Orang yang tidak beriman, tidak kemas keimanannya,
apabila berdosa,
dia fikir dosa itu hanya ibarat lalat yang hinggap di hidung
dan boleh dikuis pergi dengan mudah.

Sebab itu, keimanan perlu menjadi titik dorongan kita.
Kita belajar didorong oleh iman.
Barulah kita belajar bersungguh-sungguh.

Kita mengajak orang kepada kebaikan,
perlulah didasari oleh keimanan.
Barulah ada ketabahan dan kecekalan.

Kita memerintah negara juga didorong oleh keimanan,
barulah selamat daripada korupsi dan salah guna kuasa.

Apa sahaja dalam hidup ini,
kita perlu memulakannya dengan keimanan.

Taqwalah yang akan menjaga kita daripada
semua perlakuan buruk itu.
Tetapi taqwa hanya datang selepas kita beriman.
Sebab itu, Allah menyeru orang-orang beriman untuk
bertaqwa dengan sebenar-benar ketaqwaan.

 Allah swt berfirman yang bermaksud,
“ Wahai orang-orang yang beriman!
Bertaqwalah kamu dengan sebenar-benar taqwa,
dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan
dalam keadaan Islam. “
[ Ali Imran : 102 ]

Akhir sekali, keimanan itu jugalah yang membuatkan kita
mampu melaksanakan apa sahaja arahan Allah swt.
Walaupun sukar.
Walaupun seluruh dunia membenci kita.

Kalu kita tengok,
hari ini seluruh dunia menggelar Islam agama pengganas.
Ada musuh-musuh Allah yang benci melihat Islam ini naik.
Keimanan akan membuatkan kita yakin bahawa
pertolongan Allah itu dekat.
Di situ kita akan tabah dan bersungguh-sungguh.

Sebab itu, apabila Allah swt menyebut
“ Wahai orang-orang yang beriman…”
dalam Al-Quran,
kita akan rasa terpanggil,
hati akan rasa bergetar dengan semua ayat Allah swt.
Kerana kita beriman dengan-Nya.

Keimanan manusia itu ada naik turunnya.
Sebab itu,
penting ada sahabat yang boleh ingat-memperingatkan.
Kerana peringatan itu berguna
untuk orang yang beriman.

Allah swt berfirman yang bermaksud,
“ Dan berilah peringatan,
sesungguhnya peringatan itu bermanfaat
 untuk orang yang beriman. “
[ Adz-Dzariyyat : 55 ]

Kita perlu berusaha untuk asas keimanan kita.
Barulah mudah untuk tingkatkan kualiti diri.

Apabila hati-hati itu terhubung dengan keimanan,
ia akan menghasilkan sesuatu yang luar biasa.

Source: Novel Sinergi by Hilal Asyraf

Whatever we do in this world,
It will be questioned in the afterlife.
Always be careful !

- Islam unites us all -
->> We unite for Islam <<-
^_^

No comments:

Post a Comment