Thursday, 5 January 2012

:: Indahnya Syurga ::


Sedarlah..
Islam ini sesuatu yang perlu dirasai dan dihayati.
Sama-samalah kita bertanya diri,
Adakah jiwa kita ini berasa nikmat dengan Islam ?

Setiap apa yang kita lakukan di dunia ini, 
walau sebesar zarah sekalipun, 
akan dihitung di akhirat kelak.

Mari kita sama-sama hayati cerita tentang keindahan syurga,
untuk lebih bersemangat dalam beramal soleh di dunia,
buat bekalan di akhirat sana,
moga Allah swt memudahkan bagi kita
 jalan menuju syurga-Nya.
insya-Allah.


. SYURGA ITU BENAR .


"Bagaimana kita harus menilai suatu tempat yang 
dicipta oleh Allah dengan "Tangan"-Nya sendiri iaitu syurga. 
Bersiaplah dari sekarang untuk menyaksikannya sendiri, insya-Allah." 

Itulah kata-kata Anas Bin Malik. 

Kita akan menyaksikan sendiri keindahannya kelak, 
namun perlu bersiap sedia dari sekarang.
Syurga yang bakal disaksikan itu walaupun 
tidak mampu dilukiskan keindahannya, 
dengan rahmat dan kasih sayang-Nya, 
Allah telah menjelaskan secara umum tentang gambaran
 nikmat-nikmat syurga melalui kalam-Nya. 
Berikut adalah antara sifat-sifat syurga 
yang diterangkan oleh Allah swt 
dalam al-Quran dan hadis :

> Keadaan Ahli Syurga <

Rasulullah saw bersabda, maksudnya : 
"Berseru seorang penyeru ( di dalam syurga ) 
bahawa kamu akan selalu sihat 
dan tidak akan jatuh sakit selama-lamanya, 
akan hidup tidak akan mati selama-lamanya, 
akan muda dan tidak akan tua selama-lamanya, 
akan berasa senang ( gembira ) 
tidak akan susah atau bosan selama-lamanya. "

[Riwayat Muslim]

> Makanan dan Minuman <

Allah berfirman yang bermaksud : 
" Kami tambahkan untuk mereka buah-buahan dan daging ( jenis ) 
yang mereka inginkan. 
Mereka mengedarkan antara mereka gelas-gelas ( yang berisi arak ),
 tidak akan sia-sia padanya dan tidak pula perbuatan dosa. "

[Surah al-Tur 52: 22-23]

"( Mereka duduk ) di atas tempat-tempat duduk yang bersulam. 
Sambil bersandaran dan berhadap-hadapan, 
akan melayani mereka anak-anak muda yang tidak berubah keadaannya. 
Dengan membawa cangkir dan cerek-cerek 
dan gelas yang berisi minuman dari satu sumber. 

Mereka tidak merasa sakit kepala, 
tidak pula mabuk kerananya. 
Dan buah-buahan daripada jenis yang mereka sukai. 
Dan daging segar yang mereka inginkan. 
Dan bidadari-bidadari ( yang melayani mereka ). 
Seperti mutiara-mutiara tersimpan. "

[Surah al-Waqi'ah 56: 15-23]

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud : 
" Ahli syurga makan dan minum,
 tetapi tidak buang air besar dan air kecil, 
tidak keluar hingus dan semua yang mereka makan dan minum 
menjadi peluh yang keluar dengan bau yang wangi. "

[Riwayat Muslim]

Firman Allah bermaksud :
 " Diedarkan kepada mereka piring-piring dan gelas-gelas 
daripada emas dan di dalamnya ( syurga ) itu 
apa-apa sahaja yang kamu inginkan
 dengan nafsu dan indah dipandang mata, dan kamu kekal di dalamnya."

[Surah al-Zukruf 43: 71]

> Kebub-kebun Syurga <

 Firman Allah bermaksud : 
" Selain dua syurga tersebut, 
ada dua syurga lagi. 
Maka nikmat mana yang kau dustakan? 
Kedua-duanya hijau tua. 
Maka nikmat Tuhanmu yang manakah hendak kau dustakan? 
Di dalam kedua-dua syurga itu ada mata air yang memancar,
 maka nikmat Tuhanmu yang mana hendak kau dustakan? 
Di dalam kedua-duanya ada buah-buahan, kurma dan delima. "

[Surah al-Rahman 55: 62-68]

> Sungai-sungai syurga <

Firman Allah bermaksud :
 " Sifat syurga yang dijanjikan untuk 
orang yang bertakwa ( ialah seperti berikut ), 

adanya sungai-sungai daripada air yang tidak berubah 
( rasa dan baunya ), 
dan beberapa sungai daripada susu yang tidak berubah rasanya 
dan sungai-sungai daripada arak yang lazat bagi peminumnya, 
dan sungai-sungai daripada madu yang suci bersih.

 Dan bagi mereka di dalamnya ada 
bermacam-macam buah-buahan 
dan keampunan daripda Tuhan mereka. 

Apakah itu sama dengan orang yang masuk neraka yang 
diberi minum air panas mendidih sehingga putus-putus usus 
dan isi perut mereka yang meminumnya? "

[Surah Muhammad 47: 15]

> Pakaian dan Perhiasan Syurga <

Firman Allah bermaksud :
 " Sesungguhnya orang yang bertakwa di tempat yang aman. 
Di kebun-kebun dan mata air-mata air. 
Mereka memakai sutera yang nipis dan tebal 
dan duduk berhadap-hadapan. "

[Surah al-Dukhan 44: 51-53]

Firman Allah bermaksud :
 " Bagi mereka disediakan syurga-syurga yang kekal mengalir 
di bawahnya sungai-sungai,
 dihiaskan mereka di dalamnya dengan gelang-gelang emas,
 memakai pakaian hijau daripada sutera halus dan sutera sulaman emas,
 sambil bersandar di tempat-tempat duduk yang tinggi, 
baik sekali ganjaran Allah itu dan 
bagus sekali ( syurga ) sebagai tempat duduk. "

[Surah al-Kahf 18: 31]

Firman Allah bermaksud :
 " Mereka di atas tilam-tilam yang isinya daripada sutera 
( dan sedang duduk-duduk itu ) 
mereka dapat memetik buah-buahan syurga kerana dekat. "

[Surah al-Rahman 55: 54]

Rasulullah saw bersabda lagi yang bermaksud : 
" Sekiranya seorang penghuni syurga datang ke dunia ini dengan 
memakai perhiasan gelang, 
maka sinar dari gelangnya itu akan mengaburkan sinar matahari, 
sebagaimana sinar matahari itu mengaburkan sinar-sinar bintang. "

[Riwayat al-Tirmizi]

> Pelayan <

Firman Allah bermaksud : 
" Akan melayani mereka anak-anak muda yang tidak berubah keadaannya. 
Dengan membawa cangkir-cangkir, cerek-cerek 
dan gelas-gelas yang berisi minuman. "

[Surah al-Waqi'ah 56: 17-18]

Firman Allah bermaksud : 
" Akan melayani mereka anak-anak muda yang 
tidak akan berubah keadaan mereka, 
apabila engkau melihat mereka, engkau akan
 mengira berlian-berlian yang bertaburan. "

[Surah al-Insan 76: 19]

> Lagu dan Muzik <

Firman Allah bermaksud :
 " Pada hari berlakunya kiamat pada hari itu mereka akan terpisah. 
Adapun orang yang beriman dan melakukan perbuatan yang baik, 
maka mereka akan berada di satu taman yang segar dan dihiburkan. 
Dan adapun orang yang kafir 
dan mendustakan ayat-ayat Kami dan kehidupan di akhirat, 
mereka dalam seksaan yang terus-menerus. "

[Surah al-Rum 30: 14-16]

> Kenderaan Syurga <

Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw :
 " Apakah di dalam syurga ada kuda ? "
Rasulullah saw menjawab :
 " Mudah-mudahan engkau akan masuk syurga supaya 
engkau mendapat kenderaan berupa kuda yang diperbuat daripada 
Yaqut ( permata yang mahal ) berwarna merah, 
engkau dapat terbang dengannya di dalam syurga
 ke mana sahaja engkau kehendaki. " 

Lalu bertanya pula seorang lelaki lain : 
" Ya Rasulullah adakah terdapat unta di dalam syurga ? " 
Berkata Rasulullah saw : 
" Mudah-mudahan Allah memasukkan engkau ke dalam syurga, 
dan di dalamnya engkau akan mendapatkan 
apa-apa sahaja yang diinginkan 
oleh keinginanmu dan apa-apa sahaja 
yang disenangi oleh matamu. "

[Riwayat al-Tirmizi]

> Tidak Beranak <

Rasulullah saw bersabda bermaksud :
 " Apabila seorang mukmin menginginkan anak di dalam syurga, 
maka jadilah anak itu pada saat ia ingin itu, 
tetapi tiada yang ingin beranak di dalam syurga. "

[Riwayat al-Tirmizi]

Lihatlah betapa terperincinya 
gambaran syurga yang dipaparkan 
oleh Allah buat manusia menghayatinya. 
Agar dengan ini timbul semangat dan kesungguhan serta 
kegigihan yang meluap-luap untuk mencapainya. 

Sesungguhnya syurga itu benar,
 diyakini oelh ornag-orang yang benar,
 dan diraih melalui amalan-amalan yang benar. 
Berita tentang syurga disampaikan oleh 
Allah yang Maha Benar ( al-Haq ) 
kepada Rasul-Nya yang benar lagi dibenarkan!

Malang sekali,
 ramai manusia kononnya bijak, 
hidup pada zaman yang serba canggih ini
 tetapi tidak terpikat dengan janji syurga yang benar ini.
 Mereka lebih terpikat pada pelbagai jenis skim cepat kaya,
 tawaran saham berunsur riba, 
penipuan menerusi perniagaan dalam Internet 
sehingga ramai yang telah terpedaya.

Mengapa tawaran syurga yang hakiki 
dan pasti ini diabaikan?
 Kerana tidak nampak? 
Kerana tidak yakin? 
Inilah krisis iman manusia akhir zaman.
 Namun akhirnya ketika mayat sudah dimasukkan ke liang lahad 
dan tanah kuburan telah dikambus orang, 
terdengarlah sayup-sayup suara talkin yang dibacakan :
 "...ketahuilah bahawa syurga itu benar!"


Cuba perhatikan nelayan yang gigih mengharungi badai lautan, 
mengapa mereka sanggup mengharungi semua itu? 
Ya, mereka yakin akan mendapat ikan-ikan sebagai ganjarannya. 
Begitu jugalah dengan kebanyakan manusia dengan 
pelbagai profesion dan pekerjaan,
 masing-masing rela bersusah payah demi upah dan ganjaran.

Maka begitulah juga keadaan orang yang beriman, 
selalu ingatkan akhirat;
 takut dihumban ke neraka dan inginkan nikmat syurga, 
menyebabkan mereka gigih melakukan kebaikan
 walaupun pahit dan sanggup meninggalakan kejahatan 
walaupun manis.




Penangguhan akan ganjaran dan hukuman di dunia 
tidak menyebabkan mereka leka 
kerana mereka yakin bahawa apa yang berlaku di dunia
 sangat cepat dan singkat. 

Firman Allah swt yang bermaksud :
 " Dan tidaklah perihal kedatangan hari kiamat itu melainkan 
seperti sekelip mata atau lebih cepat lagi. "

[Surah al-Nahl 16: 77]

Malangnya,
 ramai manusia tidak dapat menggambarkan 
tentang dahsyatnya hari kiamat 
kerana ia benar-benar jauh daripada fikiran mereka.

Rasulullah saw bersabda lagi, maksudnya : 
" Demi Allah yang diriku ada di tangan-Nya, 
sekiranya kalian melihat apa yang pernah aku lihat, 
nescaya kalian sedikit ketawa dan banyak menangis. "

Mereka ( para sahabat ) bertanya :
 " Wahai Rasulullah, apa yang engkau lihat? "

Baginda menjawab : 
" Aku melihat syurga dan neraka. "

[Riwayat Muslim]

. Hijab Kemungkaran .

Keyakinan terhadap hari akhiratlah yang menentukan seseorang itu 
mampu melakukan kebaikan atau meninggalkan kejahatan.
 Oleh sebab itu, sering kali hadis-hadis Rasulullah saw yang menyuruh kita 
melakukan perbuatan yang baik dimulakan dengan kalimah awalan,

" Sesiapa yang percaya kepada Allah dan hari akhirat.."

Contohnya, 
Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud :
 " Sesiapa yang percaya kepada Allah dan hari akhirat
 hendaklah dia berkata baik ataupun diam. "

Kepercayaan kepada Allah dan hari akhirat 
sering digandingkan bersama-sama, 
menandakan betapa signifikannya " a sense of the end".

Dan inilah juga sebabnya ayat-ayat al-Quran yang mengandungi 
perintah suruhan dan larangan bermula dengan seruan,

 " wahai orang-orang yang beriman..." 

Atas dasar itulah para ulama menyatakan ada tiga faktor 
penyebab manusia enggan melakukan kebaikan 
dan mendorong mereka melakukan kemungkaran iaitu 

 tidak yakin kepada Allah dan hari akhirat
 serta terlalu cinta akan diri sendiri.

Ketiga-tiga sebab itu saling berkait antara satu sama lain. 
Apabila manusia tidak yakin kepada Allah Yang Maha Berkuasa, 
mana mungkin dia beriman kepada hari akhirat 
kerana yang menjadikan hari akhirat itu ialah Allah.

Berita tentang adanya syurga, neraka, titian sirat, mahsyar dan lain-lain 
datangnya daripada Allah yang menurunkannya kepada malaikat Jibrail, 
seterusnya kepada Nabi Muhammad saw,
 yang menyampaikannya kepada manusia. 

Oleh sebab itu,
 apabila manusia ragu-ragu dengan Allah, 
maka dia akan turut ragu-ragu dengan hari akhirat.
Apabila manusia ragu dengan Allah dan hari akhirat, 
dorongannya untuk melakukan kebaikan 
kepada manusia lain akan menjadi lemah. 
Dia hanya didorong untuk mencapai kepentingan 
duniawi dan peribadi sahaja
 untuk melakukan sesuatu perkara atau meninggalkannya. 
Motifnya hanya keuntungan dan kesenangan diri sendiri.

. Iman vs Ukhuwah .

Dalam kamus hidup orang yang tidak beriman kepada 
Allah dan hari akhirat, 
tidak ada istilah pahala atau dosa, 
neraka ataupun syurga. 

Hidupnya akan didominasi sepenuhnya oleh sifat 
materialisme, hedonisme, dan individualistik. 
Dia hanya memberi jika mendapat balasan yang lebih baik dan banyak.
 Apabila manusia hanya fokus untuk menerima semata-mata, 
pecahlah ukhuwah, terungkailah persaudaraan.

Oleh sebab itulah iman dan persaudaraan 
saling berkait rapat.
 Iman dan persaudaraan kerap digandingkan 
dalam al-Quran dan hadis. 

Firman Allah swt yang bermaksud : 
" Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara. "

[Surah al-Hujurat 49: 10]

Rasulullah saw pula bersabda, maksudnya :
 " Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mencintai
 untuk saudaranya sepertimana  
dia mencintai untuk dirinya sendiri ( daripada kebaikan ). "

[Riwayat al-Bukhari]

Dan pertalian antara iman ( percaya kepada Allah ), 
persaudaraan sesama Muslim dan kurniaan
 syurga itu sangat berkait rapat. 

Perhatikan maksud hadis ini :
" Demi Zat yang diriku berada dalam kekuasaan-Nya, 
tidak akan masuk syurga selagi kamu tidak beriman,
 tidak akan beriman selagi kamu tidak saling mencintai.
Apakah kamu ingin aku khabarkan mengenai
 amalan yang apabila dilakukan pasti 
membuatkan kamu saling mencintai ? "

Sahabat menjawab teruja : 
" Sudah tentu, wahai Rasulullah. "

Nabi saw bersabda yang bermaksud :
 " Sebarkanlah salam sesama kalian. "

[Riwayat Muslim]

Orang yang layak masuk syurga umumnya ialah 
orang yang kuat imannya, 
kukuh persaudaraannya 
dan banyak amal kebaikannya 
kepada Allah dan manusia lain.


Allah berfirman yang bermaksud :
 " Dan didekatkan syurga itu kepada orang yang bertakwa
 pada tempat yang tiada jauh ( daripada mereka ).
 Inilah yang dijanjikan kepadamu ( iaitu ) kepada setiap hamba 
yang selalu kembali ( kepada Allah ) lagi memelihara 
( semua peraturan-Nya ). 
( Iaitu ) orang yang takut kepada Tuhan Yang Maha Pemurah 
sedang Dia tidak kelihatan ( olehnya ) dan 
dia datang dengan hati yang bertaubat.
 Masukilah syurga itu dengan aman, itulah hari kekekalan. "

[Surah Qaf 50: 31-34]

. Potensi Sama Rata .

Semua manusia mempunyai potensi yang sama untuk masuk 
ke dalam syurga kecuali orang yang enggan memasuki. 
Siapakah orang yang enggan ini?

Daripada Abu Hurairah ra., 
bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud :
 " Sekalian umatku akan masuk syurga 
kecuali orang yang enggan. "

Sahabat-sahabat Baginda bertanya untuk mendapatkan kepastian :
" Ya Rasulullah, siapakah orang yang enggan itu? "

Baginda menjawab :
 " Sesiapa yang taat kepadaku akan masuk syurga, 
dan sesiapa yang durhaka kepadaku, maka sesungguhnya ia telah enggan. "

[Riwayat al-Bukhari]

Oleh sebab itu, janganlah jadi orang yang enggan itu, 
sebaliknya berlumba-lumbalah untuk masuk ke syurga. 
Bagaimana?

Pertama, 
berdoalah agar syurga menjadi destinasi terakhir nanti. 

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud : 
" Dan aku memohon syurga kepada-Mu dan apa-apa yang mendekatkan kepadanya, 
berupa perkataan atau perbuatan. "

[Riwayat Ibn Majah]

Baginda bersabda lagi : 
" Sesiapa yang memohon syurga Allah sebanyak tiga kali, 
maka syurga berkata :
 ' Ya Allah, masukkan dia ke dalam syurga.' "

[Diriwayatkan al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Nasa'i dan Ibn Hibban]

Kedua,
 tidak cukup dengan berdoa, 
kita mesti berusaha untuk memasuki syurga. 
Untuk memasuki syurga syarat utamanya adalah dengan memiliki sifat takwa.

Hayatilah firman Allah swt ini, mafhumnya :
" Sesungguhnya bagi orang yang bertakwa ( disediakan )
 syurga-syurga yang penuh kenikmatan di sisi Tuhannya. "

[Surah al-Qalam 68: 34]

.. 1/99 RAHMAT ..

Rasulullah saw pernah bersabda dalam menguraikan 
sifat al-Rahman dan al-Rahim Allah swt yang bermaksud :

" Allah menciptakan 100 rahmat,
 satu rahmat dibahagikan kepada seluruh isi dunia ini, 
sedangkan 99 bahagian lagi dibahagikan di akhirat
 ( iaitu di dalam syurga ). "

[Riwayat Muslim]

Jadi secara kasarnya, 
kesenangan di dalam syurga itu adalah 99 kali ganda 
berbanding kesenangan di dunia sekarang ini.

Inilah pesona yang mampu menggerakkan Mukmin 
memburu baki 99 rahmat 
yang ditahan di sisi-Nya.

    Source : Solusi Isu No 38 ( Pahrol Mohamad Juoi )

Whatever we do in this world,
It will be questioned in the afterlife.
Always be careful !

- Islam unites us all -
->> We unite for Islam <<-
^_^